Polis menahan seramai 1,863 individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran di ibu kota menerusi Op Noda bagi tempoh awal Januari tahun ini sehingga 19 Julai lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata penahanan kesemua suspek adalah hasil 1,482 pemeriksaan premis dan 581 serbuan yang dijalankan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sejumlah 588 individu adalah warga tempatan dengan jumlah tangkapan bawah 16 tahun seramai 38 orang dan selebihnya berusia antara 16 hingga 60 tahun.

“Jumlah tangkapan selebihnya melibatkan warga asing iaitu seramai 1,275 individu,” menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.

Mazlan juga berkata dalam tempoh itu, seramai 74 individu telah dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

“Polis turut mengambil tindakan terhadap pusat hiburan yang tidak mempunyai lesen atau melanggar syarat pusat hiburan.

“Sebanyak 99 pusat hiburan telah dikenakan tindakan saman di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992 di sekitar daerah Brickfields, Sentul, Cheras, Wangsa Maju dan Dang Wangi,” katanya.

Mazlan menyeru orang ramai memberikan kerjasama dalam membanteras kegiatan pelacuran di bandar raya ini dengan menyalurkan maklumat ke Bilik Gerakan Khas yang beroperasi 24 jam dan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

-- BERNAMA