Polis menangkap 1,444 individu, manakala 444 kertas siasatan dibuka hasil Op Cantas Khas 2 yang bermula sejak hujung minggu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, 138 daripada individu yang ditangkap memang dikehendaki polis kerana melakukan pelbagai jenis kesalahan.

"115 daripadanya ditangkap atas kesalahan mengikut Akta Pertubuhan, di mana kita syaki mereka terlibat dalam kumpulan kongsi gelap dan gengsterisme," katanya, pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Dalam operasi berkenaan, polis telah memeriksa 33,684 individu dan 19,558 buah kenderaan di seluruh negara.

Tambahnya lagi, antara yang ditangkap merupakan ketua kumpulan kongsi gelap serta orang-orang kanannya.

Bagaimanapun, Datuk Seri Mohmad tidak melihat penangkapan ketua kumpulan kongsi gelap itu akan melumpuhkan kegiatannya, namun, polis akan terus menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi membendung kegiatan dan jenayah melibatkannya daripada berleluasa.

Selain itu, 54 kenderaan turut dirampas, bersama enam senjata api, serta lebih 50 senjata tajam dan berbahaya termasuk senapang guli, pedang, parang, pisau, kuku kambing, dan batang besi.

Pada masa sama, Datuk Seri Mohmad tidak menolak kemungkinan suspek yang dikehendaki polis telah melarikan diri ke negara jiran.

"Untuk itu kita sedang bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Thailand bagi mengenal pasti dan menangkap mereka yang berada di sana," jelasnya.

Op Cantas Khas 2 membabitkan tiga pasukan elit Polis Diraja Malaysia iaitu Pasukan Tindakan Khas Judi, Maksiat dan Gengsterisme (STAGG), Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING).

Ia dilancarkan susulan peningkatan kes jenayah ganas di seluruh negara termasuk kejadian tembak di tempat awam yang dikaitkan dengan kegiatan kongsi gelap, gengsterisme serta pembunuh upahan.