Operasi Banteras Aktiviti Haram atau dikenali sebagai Op BAH mengisytiharkan tahun 2018 sebagai tahun sifar judi atas talian di Kuala Lumpur.

Ketua Penyelaras Operasi Banteras Aktiviti Haram Kementerian Wilayah Persekutuan, Azman Mahmood berkata, sejumlah 615 premis judi online yang dikenal pasti telah dihapuskan tahun lalu akan dipantau supaya tidak beroperasi semula.

“Sekarang ini adalah satu berita baik buat warga kota bahawa tahun 2018 merupakan tahun sifar judi atas talian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Op BAH siri pertama tahun 2018 di beberapa kawasan di ibu negara.

Beberapa individu yang ditahan dalam serbuan yang dilakukan oleh Jawi.

Dalam siri pertama malam tadi, seramai 59 individu beragama Islam ditahan atas pelbagai kesalahan menerusi dua serbuan Op BAH oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Serbuan dilakukan di dua pusat hiburan di Taman Shamelin, Cheras dan Jalan Metro Pudu, di sini.

Antara kesalahan yang dilakukan termasuk meminum minuman yang memabukkan, menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama serta bersubahat melakukan jenayah syariah dengan bekerja sebagai GRO.

Pihak berkuasa menjalankan saringan ujian air kencing dan pemeriksaan dalam serbuan itu.

Jika sabit kesalaha, tindakan di bawah Seksyen 19 (1), Seksyen 9, dan Seksyen 43, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559).

Operasi itu turut disertai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kesemua yang diperiksa itu diarahkan hadir ke pejabat Jawi untuk tindakan lanjut.