Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar kembali menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) selepas melepaskan jawatan itu, hujung bulan lalu.

Nurul Izzah dipercayai mengambil keputusan kembali semula memegang jawatan itu selepas kemelut jawatan Pengerusi PAC selesai, hari ini.

Menurut sumber, Nurul Izzah difahamkan berkata, beliau akan menghadiri mesyuarat hari ini atas permintaan Sekretariat PAC.

"Alhamdulillah. Struktur jawatankuasa PAC amat penting. Saya diminta hadir oleh Sekretariat PAC untuk turut serta dalam aturan mesyuarat hari ini.

"Saya bersetuju setelah berbincang dengan Ketua Whip (Datuk Johari Abdul)," beliau dipetik berkata.

Nurul Izzah melepaskan jawatan itu susulan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Pengerusi PAC, Datuk Seri Ronald Kiandee tidak perlu melepaskan jawatannya sebagai pengerusi jawatankuasa terbabit selepas menyertai Bersatu.

BACA: Gelaran 'bekas diktator' itu adalah fakta, kata Nurul Izzah

PH sebelum ini berjanji supaya jawatan Pengerusi PAC dikhaskan kepada wakil rakyat pembangkang.

Nurul Izzah dalam status yang dimuat naik di akaun Twitter rasminya sebelum ini menegaskan Pengerusi PAC perlu diisi oleh pembangkang bagi memastikan kebertanggungjawaban pihak eksekutif.

Hari ini Dr Mahathir dijangka membentangkan usul bagi memilih Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad bagi menggantikan Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran pada sesi persidangan kali ini.

BACA: Nurul Izzah letak jawatan anggota PAC

Perkara itu dinyatakan dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul Dewan Rakyat hari ini, bilangan kesembilan.

BN menamakan Noraini sebagai pengerusi selepas Ronald yang dahulunya pemimpin Umno Sabah menyertai Bersatu pada 15 Mac lalu.

Pertukaran jawatan itu susulan bantahan selama beberapa minggu oleh wakil rakyat dan orang ramai yang mahu kerajaan memutuskan untuk mengadakan usul menggantikan Pengerusi PAC dengan anggota Parlimen pembangkang.