Kanak-kanak perempuan Nur Dinie Damia Muhammad Noor Ain, 7, yang mengalami kegagalan buah pinggang dan hati, meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, malam tadi.

Kanak-kanak berkenaan yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA, disahkan meninggal dunia pada 10.48 malam.

Kematian kanak-kanak itu dimaklumkan secara ringkas kepada media oleh bapanya Muhammad Noor Ain, menerusi aplikasi WhatsApp, malam tadi.

Sebelum ini, Nur Dinie Damia dirawat di HSA sejak empat hari lepas, selepas disyaki mengalami jangkitan influenza, namun dia disahkan negatif penyakit itu, petang Isnin.

Mengesahkan perkara itu petang Isnin, Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata ujian pengesahan PCR (Polymerase Chain Reaction) terkini pada pukul 4.45 petang Isnin, terhadap murid itu menunjukkannya negatif Influenza.

"Waktu Damia (Nur Dinie Damia) masuk ke sini (HSA), ujian Influenza dilakukan dan didapati negatif... jadi sekarang ini Damia didapati alami kegagalan buah pinggang dan hati.

"Bagaimanapun, pihak hospital sentiasa berusaha untuk menstabilkan semula keadaan adik Damia," kata Dr Sahruddin kepada pemberita selepas melawat kanak-kanak itu petang Isnin.

-- BERNAMA