Semua pengguna perkhidmatan pengangkutan awam di seluruh negara diwajibkan memakai penutup hidung dan mulut sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata biarpun tiada peruntukan undang-udang berkaitan pemakaian topeng muka itu, namun ia dianggap satu keperluan buat masa ini.

“Walaupun dari aspek undang-undang, susah untuk mengatakan bahawa wajib untuk pakai topeng muka (penutup hidung dan mulut) tetapi untuk pengangkutan awam, semua pengguna diwajibkan memakainya.

“Ia cara yang terbaik (mencegah COVID-19) dan kami sudang mendapatkan pandangan pakar berhubung pemakaian topeng muka apabila menaiki pengangkutan awam,” kata Dr Wee dalam sidang media di stesen Transit Aliran Massa (MRT) Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Terdahulu beliau membuat tinjauan di beberapa stesen bas, MRT dan Transit Aliran Ringan (LRT) susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Isnin yang membenarkan sektor ekonomi dan pekerjaan untuk kembali beroperasi.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Muhammad Nizam Alias.

Katanya lagi, pengguna pengangkutan awam yang dikesan mempunyai suhu badan yang tinggi tidak akan dibenarkan menggunakan perkhidmatan berkenaan.

“Bagi mereka yang tidak memakai topeng muka atau bersuhu tinggi, kami ada kuasa untuk tidak benarkan mereka masuk.

“Kami minta kerjasama dan persefahaman daripada semua pihak berkaitan perkara ini. Ini terpaksa dilakukan demi menjaga kesihatan kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kekerapan perjalanan tren LRT dan MRT dipertingkatkan bagi menampung keperluan semua penumpang.

Beliau berkata kekerapan bagi operasi perkhidmatan LRT dan MRT adalah setiap tiga hingga empat minit pada waktu kemuncak.

Katanya, kekerapan itu selaras langkah menghadkan separuh daripada kapasiti penumpang yang dibenarkan menaiki tren bagi tujuan pelaksanaan penjarakan sosial.