Sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam normal baharu tahun ini masih boleh diraikan dengan meriah.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, biarpun tanpa amalan ziarah dan saling mengunjungi seperti kebiasaannya, suasana meriah dan kegembiraan masih boleh diwujudkan dalam kalangan ahli keluarga.

"Saya sarankan, adakan perbincangan antara adik beradik dan sanak saudara, siapa yang boleh datang menziarah. Pastikan juga sesama ahli keluarga sentiasa mengamalkan penjarakan sosial, elakkan bersalam dan bersentuhan.

"Jaga ibu bapa, datuk dan nenek, kerana mereka lebih terdedah kepada jangkitan. Tak mengapa tahun ini kita tidak dapat peluk cium mereka.

"Bukan kerana tidak sayang, tetapi kerana sayanglah kita perlu elak bersentuhan dengan mereka," katanya dalam Perutusan Khas Aidilfitri yang disiarkan pada Sabtu malam.

Dalam pada itu, beliau juga berharap mereka yang diberi kelonggaran untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid agar sentiasa mematuhi garis panduan yang telah diberikan.

"Kalau sebelum ini, imam akan cakap rapatkan saf sebelum memulakan solat, tetapi kali ini imam perlu kata renggangkan saf kerana dalam situasi sekarang, itu lebih afdal.

"Lepas solat, tak perlu bersalaman. Cukup sekadar tunduk hormat dan bertukar senyuman sahaja. Dengan cara ini, kita akan dapat pahala berjemaah dan dalam masa yang sama membantu usaha mengawal COVID-19," ujarnya.