Menteri Pengajian Tinggi yang baharu dilantik, Datuk Noraini Ahmad hari ini mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen berkuatkuasa, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata keputusan dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 9 Mac 2020 yang melantik beliau sebagai anggota Kabinet Kerajaan Malaysia.

“Sehubungan dengan itu, saya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen berkuatkuasa hari ini.

"Berdasarkan Peraturan Mesyuarat (PM) 77(4) Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang jelas menyebut bahawa 'seseorang ahli Majlis tidak boleh diangkat atau dilantik memegang atau memangku jawatan Pengerusi atau menjadi ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara semasa ia menjadi seorang Menteri'.

“Surat peletakan jawatan sudah dihantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof,” menurutnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Noraini turut mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Mohamad Ariff serta pegawai dan kakitangan Parlimen Malaysia atas segala kerjasama dan bantuan yang diberikan sepanjang beliau menjawat jawatan Pengerusi PAC Parlimen selama kira-kira 10 bulan bermula 11 April 2019.

Noraini turut berharap PAC Parlimen akan terus dapat menjadi sebuah Jawatankuasa Parlimen yang memainkan peranan serta fungsi dalam semak dan imbang urusan kewangan dan perbelanjaan negara.

Ia bagi memastikan wang rakyat benar-benar diberlanjakan secara berhemah dan telus.


Grafik Astro AWANI