Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengingatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) supaya tidak melangkaui tugas dan peranan pihak berkuasa dalam memperjuangkan hak pengguna di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tidak menjadi kesalahan untuk mana-mana NGO membantu dan memperjuangkan hak pengguna namun mereka perlu berpada-pada dan tidak melanggar undang-undang.

Kementerian katanya, sentiasa mengalu-alukan peranan NGO dalam membantu seterusnya bersama-sama menggembleng tenaga memperjuangkan hak pengguna memandangkan kementerian yang diterajuinya luas selain perlu bertindak seimbang dalam menjaga kepentingan pengguna.

"Kalau ada NGO hendak berperanan perjuangkan pengguna, dia sepatutnya buat secara bebas. Tetapi kalau dia melakukan dengan melanggar undang-undang negara, itu tidak betul.

"Contohnnya melanggar undang-undang polis kerana hendak bantu pengguna, kita tidak boleh melanggar undang-undang lebih atas daripada polis, ini merupakan satu kesalahan," katanya kepada media ketika diminta mengulas mengenai tindakan sebuah badan NGO yang agresif memperjuangkan hak pengguna.

Beliau berkata selepas melancarkan FOK peringkat Pulau Pinang di Maktab Rendah Sains Mara ( MRSM) Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, pihaknya terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk NGO malah KPDNKK sendiri telah melancarkan Friends of KDNKK (FOK) di seluruh negara dalam usaha memperkasakan suara pengguna yang menjadi ‘mata dan telinga’ kementerian.

Justeru katanya, pengguna boleh menyalurkan maklumat berkaitan kepenggunaan melalui FOK dan juga persatuan pengguna yang lain di seluruh negara .