NFCorp akan membayar balik baki tertunggak pinjaman mereka kepada kerajaan, kata pengerusinya Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail.

Katanya, NFCorp sudahpun mempunyai pembeli baru bersetuju untuk membayar balik baki pinjaman mereka sepenuhnya dalam masa tiga bulan bermula tarikh yang dipersetujui dengan kerajaan untuk penstrukturan semula syarikat itu.

"Pihak pembeli baru syarikat NFCorp sudahpun bersetuju untuk mengangkat penuh tanggungan liabiliti pinjaman asal NFCorp dan bersedia untuk membuat pembayaran penuh 'full redemption' terhadap jumlah baki pinjaman sebenar daripada pihak kerajaan," kata Mohamad Salleh dalam satu kenyataan.

Katanya hasrat ini telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri melalui surat bertarikh 21 November, 2018.

“Pihak pembeli baru dan pihak Kerajaan, khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, telahpun berbincang dan mengatur perancangan untuk pemulihan semula projek ini demi mencapai matlamat keselamatan makanan negara, terutamanya dalam isu pengeluaran makanan yang terjamin halal,” kata Mohamad Salleh.

Kenyataan berkenaan merupakan susulan kenyataan media yang dikeluarkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa pihaknya akan menuntut sepenuhnya jumlah pinjaman daripada NFCorp.

Guan Eng memaklumkan pihaknya menuntut sejumlah bayaran tertunggak pinjaman RM81.9 juta, faedah RM23 juta dan faedah lewat RM5.8 juta.