Seorang nelayan dihukum penjara 15 tahun dan lapan sebatan di Mahkamah Sesyen Ipoh selepas didapati bersalah melakukan keganasan seksual terhadap isterinya, April lalu.

Hakim Norashima Khalid, membuat keputusan itu selepas mengambil kira rayuan dan pengakuan bersalah Himni Nur Hamid, 36, terhadap kesemua pertuduhan dikemukakan kepadanya.

Mengikut pertuduhan, Himni didakwa menyebabkan kecederaan serta mengurung isterinya yang berusia 36 tahun di sebuah rumah di Lumut pada 16 hingga 18 April lalu.

Dia juga menghadapi masing-masing dua pertuduhan menggunakan alat kemaluan palsu dan meliwat isterinya, selain memiliki 13 keping cakera padat video (VCD) lucah pada masa dan lokasi yang sama.

Pada 5 Mei lalu, tertuduh mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan dikemukakan kepadanya di hadapan Hakim S Indra Nehru di mahkamah sama.

Pendakwaan hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut mengarahkan supaya hukuman penjara terhadap tertuduh dijalankan secara serentak bermula hari ini.