Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa lagu Negaraku tidak boleh dinyanyikan dalam bahasa lain selain bahasa kebangsaan.

Jelasnya, semua rakyat Malaysia sepatutnya tahu dan mahir untuk menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa kebangsaan memandangkan ianya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, kebenaran hanya diberikan terjemahan lagu Negaraku yang ditulis dalam bahasa lain bagi meningkatkan kefahaman orang bukan Melayu dalam memahami maksud sebenar lagu terbabit.

“Kita tak boleh nyanyi Negaraku dalam bahasa lain, tapi makna Negaraku boleh dimasukkan dalam buku untuk mudahkan orang bukan Melayu faham.

“Tetapi, bukan untuk dinyanyikan dalam bahasa lain, menyanyi tetap kena guna bahasa kebangsaan kita,” kata Perdana Menteri ketika ditemui media selepas majlis ramah mesra bersama Ketua Jabatan dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) Parlimen Langkawi di Dewan Tan Sri Azizan Razak, Kuah, pada Ahad.

Pada Jumaat, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui satu kenyataan akan melakukan siasatan terperinci berhubung penularan video murid sekolah menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin.

KPM juga menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana mana pihak yang melanggar peraturan membabitkan Perlembagaan Malaysia sama ada dilakukan secara sengaja atau tidak.