Selepas pernah mengeluarkan kenyataan tidak menyokong kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pas sebelum ini, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memohon maaf kepada seluruh umat Islam, orang Melayu dan parti Islam itu.

Setiausaha Agung BN itu, dalam masa sama menyifatkan, kenyataan menentang usaha UMNO dan Pas bekerjasama yang dibuatnya itu merupakan kesilapan terbesar dilakukan dalam kerjaya politiknya.

Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata, kesilapan berkenaan turut berkaitan dengan pandangannya bahawa kerjasama antara dua parti itu bersifat tidak mencerminkan kepelbagaian kaum.

“Saya mahu meminta maaf kepada seluruh umat Islam dan Melayu di negara ini sama ada mereka ahli atau penyokong Pas kerana pernah tidak menyokong kerjasama antara UMNO dan Pas suatu ketika dahulu.

“Saya akui perkara itu merupakan kesilapan politik saya sendiri dan hari ini saya benar-benar mahu lihat kerjasama antara dua parti ini (UMNO dan PAS) boleh diteruskan,” kata Mohamed Nazri dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.

Mohamed Nazri merupakan antara pemimpin yang dilihat menentang usaha UMNO untuk menjalinkan kerjasama politik dengan Pas sebelum ini.

Serentak itu, Mohamed Nazri berikar menzahirkan sepenuhnya sokongan pada kerjasama berkenaan selepas pengumuman Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Mohamad Hasan pada Selasa.

"Saya sentiasa akan berada di belakang beliau (Mohamad) dan apapun keputusan UMNO saya akan sokong 100 peratus khususnya dalam aspek penyatuan ummah antara dua parti ini serta berharap PAS dan UMNO tidak ‘bercerai’ dan kekal sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Sebab itu saya terpanggil untuk survival UMNO dan PAS, kita patut teruskan (hubungan ini) untuk kita kita laksanakan apa yang baik untuk negara tanpa mengabaikan kaum lain, cuma utamakan kepentingan politik Melayu dan Islam," jelasnya.

Dalam masa sama, Mohamed Nazri berkata, beliau tidak akan hadir dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Jumaat ini bagi memberi peluang kepada kepemimpinan tertinggi membincangkan masalah dalaman parti komponen serta kedudukannya sebagai Setiausaha Agung BN.

BACA: Pas dan UMNO nafi satu logo pada PRU15