Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan menganjurkan Majlis Konvokesyen ke-11 secara maya melalui penggunaan teknologi robot dan tidak perlu dihadiri graduan.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata majlis yang dijadualkan pada Oktober ini akan menggunakan dua robot bernama "Naseem" dan "Seebaa" bagi menerima skrol di mana wajah pelajar akan dipaparkan melalui skrin di kepala robot.

Menurutnya, penggunaan robot ketika konvekesyen pelajar adalah yang pertama di Malaysia dan beliau juga dapat berinteraksi secara langsung dengan pelajar-pelajar melalui sidang video.

Teknologi berkenaan adalah hasil usaha kumpulan penyelidik Mechanical, Electronic, Computing and Arts (Mecca) sempena program Karnival Jom Masuk IPT zon 6 yang sepatutnya berlangsung 14 dan 15 Mac lalu.

"Di dalam sidang itu nanti, Tuanku Canselor akan menganugerahkan skrol kepada graduan dan graduan akan menerima secara streaming di mana dia akan berada di tempat masing-masing.

"Sama ada di dalam negara mahu pun graduan yang berada di luar negara, mereka akan menerima secara live tetapi melalui streaming," kata Hassan Basri.

Kaedah ini dilihat paling tepat dalam usaha menjaga jarak sosial dalam kalangan pelajar, keluarga dan staf universiti bagi mencegah penularan wabak COVID-19.