Sebahagian masyarakat menggangap normal baharu dilihat membataskan mereka berkumpul bersama sanak saudara apatah lagi aktiviti kunjung-mengunjung.

Namun bagi keluarga Raidah Hassan, kehidupan dalam normal baharu tidak menghalang mereka bergurau senda, bermaafan bersama keluarga melalui kemudahan teknologi yang ada.

Hakikatnya, jauh di mata tetapi dekat di hati. Itu yang jelas terpancar apabila melihat keluarga kecil itu bergurau sesama sendiri walau hanya di alam maya.

“Kemudahan teknologi seperti sidang video masih mampu mendekatkan hubungan bersama adik beradik lain yang semuanya berasal dari Singapura.

“Rumah saya biasanya memang menjadi tempat berkumpul adik beradik dan cucu cucu namun hari raya pada kali ini memberi kelainan.

“Dua cucu saya yang berada di luar luar negara juga tidak dapat beraya bersama. Kalau dapat raya, dapatlah dengar mereka panggil saya ‘nana’ (nenek) buat pertama kali,” katanya.

Bukan mereka saja, menantu dan seorang lagi cucunya tidak dibenarkan merentas negeri ekoran negara berdepan pandemik COVID-19.

“Sebaklah sebab dah biasa anak cucu ramai tapi tahun ini tak ada. Selalu dari Kuala Lumpur, Singapura semua dapat balik tetapi tahun ini mungkin tak dapat. Bayangkan bagaimana perasaan kita, tak dapat nak gambarkan kita tak dapat bersama raikan hari raya.

“Kita bila dah tua-tua, hidup sendiri rasa kesunyian betul tanpa anak cucu. Kita terpaksa terima qada dan qadar dari Allah. Apa ditentukan kita terpaksa akur memang ditetapkan begitu.

“Lagi satu keselamatan anak cucu kita juga penting. Kalau datang tapi jadi masalah penyakit susah juga tapi hiba, sedih tetap ada. Nanti siapa jadi mak, jadi nenek dia akan rasa macam mana perasaan itu,” katanya.

Bagi Noor Fitria Quriatulaini Sudin yang merupakan seorang guru pula menyifatkan, walaupun sedih kerana tidak dapat berkumpul bersama sanak saudara namun orang ramai perlu membiasakan diri dengan normal baharu yang dilihat ada kebaikannya.

“Rasa sedih juga sebab biasa kita kumpul petang raya. Bila jadi macam ini, rasa tak percayalah tapi ini nomal baharu, kita terpaksa ikut arahan.

“Biasa kita video meeting online class dengan pelajar tapi kali dengan keluarga, dia punya sedih lain macam. Kita nampak mereka di sana macam mana tapi bila tak nampak depan mata, lagi sebak rasanya,” katanya.

Tahun ini rakyat malaysia tidak dapat melakukan kunjungan muhibah menziarahi satu sama lain sebagaimana kebiasaan sambutan Hari Raya Aidilfitri.