Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin kerajaan dapat menyelesaikan isu-isu yang berkaitan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh setahun.

Katanya, hasil daripada kutipan GST yang dilakukan oleh kerajaan juga akan digunakan untuk dimanfaatkan rakyat.

Menurut Najib, beliau akan membentangkan kepada rakyat setiap ringgit tambahan hasil negara melalui GST.

“Saya akan bentangkan kepada rakyat setiap ringgit tambahan hasil negara melalui GST. Saya akan bentangkan untuk pengetahuan rakyat.

“Masalah GST disebabkan peniaga. Peniaga ini jahat. Dia nak 'titik' orang ramai, dia yang tidak bertanggungjawab bukan kerajaan, kita punya dasar lain.

"Apabila peniaga mengeksploitasi keadaan ini, rakyat salahkan kerajaan dan perdana menteri. Semua orang hempap atas kepala saya, walhal niat hati saya adalah untuk mengukuhkan kewangan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Najib berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di hadapan 20,000 orang di Majlis Lawatan Kerja Ke Negeri Perak Di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng pada Sabtu.

Menurut beliau, kebanyakan permasalahan dan salah faham mengenai GST yang menimbulkan kemarahan rakyat adalah berpunca daripada sikap peniaga yang ingin mengaut keuntungan yang berlebihan.

Tambah beliau, kerajaan telah berusaha untuk membantu rakyat dengan memansuhkan Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST) dengan menggantikannya dengan GST.

“Ada barang yang orang tidak tahu dulu ada SST, tetapi yang masalahnya SST dulu patut dikurangkan harga, bukan dikurangkan malah ditambahnya lagi enam peratus,” tambah beliau.

Sehubungan dengan itu Najib meminta langkah penguatkuasaan dipertingkatkan bagi mengheret peniaga-peniaga tegar ini ke muka pengadilan.