Usaha seorang anak muda Malaysia memperjuangkan isu pelarian yang membolehkan beliau menerima pengiktirafan antarabangsa diberi pujian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi.

Najib berkata beliau berbangga dengan Heidy Quah, 23, pengasas sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Refuge For The Refugees (RFTR), yang akan menerima Young Leaders Award daripada Ratu Elizabeth Il pada akhir bulan ini.

RFTR ditubuhkan pada 2012 dengan tujuan untuk membantu pelarian mendapatkan pendidikan.

"Tahniah @heidyquah kerana dipilih untuk menerima Queen''s Young Leaders Award. Usaha anda yang tidak mementingkan diri menjadi inspirasi kepada orang lain. Berbangga dengan anda!" menurut catatan Najib dalam laman Twitter malam tadi.
Khamis lepas, akhbar The Star melaporkan bahawa Heidy, ialah pemenang tunggal dari Malaysia bagi Queen''s Young Leaders Award untuk 2017 sebagai pengiktirafan kepada usaha beliau dalam membantu pelarian.

Queen''s Young Leaders Award mengiktiraf dan meraikan insan luar biasa berumur 18 hingga 29 tahun dari seluruh negara anggota Komanwel yang memainkan peranan sebagai peneraju dalam komuniti dan menggunakan kemahiran mereka untuk mengubah kehidupan. - BERNAMA