Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menegaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi dalam SRC International Sdn Bhd (SRC).

Malah kata Shafee yang mewakili Najib, anak guamnya itu tidak terbabit dalam transaksi dana berjumlah RM40 juta.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan pembukaan pada prosiding bela diri bagi kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dihadapi Najib di Mahkamah Tinggi, hari ini.

“Najib tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam SRC yang boleh dikatakan bertentangan dengan tugasnya.

"Tidak ada persoalan mengenai Najib mempunyai kepentingan peribadi. Perbuatan dan penglibatan Najib dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan SRC membawa kepada perkara-perkara yang direstui atau akhirnya diluluskan oleh KWAP (Kumpulan Wang Yang Diperbadankan), EPU (Unit Perancang Ekonomi) menteri, Kementerian Kewangan, Perbendaharaan dan / atau Kabinet.

"Tindakan Najib ini hanya untuk kepentingan kerajaan dan Malaysia,” katanya, di sini.

Sementara berhubung transaksi dana, Shafee berkata, “Najib tidak diberitahu dengan tepat mengenai baki sebenar dalam akaun malah beliau tidak menyedari transaksi sebenar dalam akaun.”

“Dalam kes pendakwaan tiada plot pengaliran wang dana yang dikeluarkan berkaitan dengan anak guam saya,” tambahnya.

Najib juga katanya tidak membuat sebarang laporan polis berhubung transaksi tersebut berikutan perkara itu sudah disiasat.

"Najib memilih untuk menghormati proses dan integriti terhadap siasatan yang sedang berlangsung," ujarnya.

Transaksi dana itu didakwa dipindahkan daripada akaun SRC kepada Gandingan Menteri Sdn Bhd (GMSB) dan kemudian ke akaun Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) pada 12 Disember 2014.