BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membangkitkan persoalan mengenai perkembangan dua tuduhan terhadap dirinya sebelum PRU14 iaitu kehilangan dana rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM160 bilion dan 40,000 hektar tanah Kementerian Pertahanan.

Katanya, selama lima bulan memerintah, PH boleh merujuk dan membuat siasatan sesuka hati bagi mencari bukti tetapi, sehingga sekarang, tiada pengumuman atau kenyataan bagi kedua-dua tuduhan serius ini

Berikut merupakan kenyataan penuh Najib:

Sebelum PRU14, kita dengar tuduhan-tuduhan seperti Melaka Gateway, Forest City dan Taman perindustrian MCKIP di Kuantan di mana ia kini ternyata fitnah terhadap saya.

(Baru saya tahu cara penyelesaian isu “jual negara” ialah dengan merendahkan tembok kilang besi sebanyak 1.2 meter (3.9 kaki). Mengapa dulu tak beritahu?)

Saya juga ingin bertanya mengenai dua lagi tuduhan yang amat berat yang dibuat terhadap saya sebelum PRU14.

Yang pertama ialah tuduhan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa sebanyak RM160 bilion telah ‘hilang’ dari dana rizab Bank Negara Malaysia (BNM) di bawah pentadbiran saya di mana ia disamakan dengan RM31.5 bilion (bersamaan dengan RM100 bilion pada hari ini) yang lesap akibat pertaruhan Forex ketika beliau menerajui pentadbiran kerajaan pada tahun 90an, dah sudahpun disahkan oleh RCI.

(Wang rizab antarabangsa BNM RM160 bilion ini bukan hilang atau di curi tetapi ditukar dari mata wang asing kepada ringgit dalam usaha mempertahankan nilai ringgit pada waktu itu. Ia tidak sama dengan kehilangan akibat kalah judi opsyen Forex dalam skandal tahun 1990an itu)

Kedua ialah tuduhan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz sebulan sebelum PRU14 di mana bekas menteri ini memulakan kenyataan tuduhannya dengan ayat "saya bersaksi dengan ALLAH" dan diakhiri dengan “Wallahi, Wabillahi, Watallahi” kononnya 40,000 hektar tanah telah diswastakan kepada syarikat milik tiga individu dan mereka kini memiliki ‘setiap inci tanah’ Kementerian Pertahanan atau pihak tentera.

Nama ALLAH telah digunakan untuk melemparkan tuduhan. Ini satu tuduhan palsu yang amat berat yang digunakan untuk menaikkan kemarahan undi tentera sebelum PRU14.

Kini, PH telah memegang Putrajaya selama 5 bulan dan boleh merujuk dan membuat siasatan sesuka hati untuk mencari bukti tetapi hingga sekarang, tiada pengumuman ataupun kenyataan pernah dibuat mengenai kedua-dua tuduhan yang amat serius ini.

Apa telah jadi dengan dua lagi tuduhan ini?