Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersedia untuk berdebat dengan penasihat DAP, Lim Kit Siang, secara langsung.

Dalam satu catatan di Facebook beliau, bekas Presiden UMNO itu berkata, beliau tiada masalah berdebat dengan tajuk pilihan Kit Siang - “How Malaysia became a global kleptocracy, and how we can become a leading nation of integrity”.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Pekan itu menyarankan agar topik-topik lain juga bebas dibincangkan sewaktu debat itu berlangsung.

Beliau juga mencadangkan debat tersebut diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri akan datang dan seharusnya disiarkan secara langsung supaya dapat ditonton oleh rakyat.


“Pegawai saya akan berhubung dengan pegawai Kit Siang untuk menganjurkan debat ini,” katanya lagi, sambil memohon syarat tambahan, iaitu Ahli Parlimen Jelutong RSN Nayer tidak dibenarkan menjadi pengadil bagi debat bersejarah itu.


Terdahulu, Kit Siang, yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, menganggap Najib sebagai seorang individu yang mempunyai tabiat berbohong secara terang-terangan, dan sentiasa memutar belit fakta.

Dalam catatan terbaharu di laman blog rasminya hari ini, beliau berkata Najib merupakan seorang ahli politik yang memalukan legasi ayahandanya iaitu Tun Abdul Razak.

“Dalam keadaan ini, perlukah seseorang itu berdebat dengan seorang pengamal kleptokrasi, dan seorang yang mempunyai tabiat berbohong? Barangkali subjek terbaik untuk debat ini ialah - How Malaysia became a global kleptocracy and how we can become a leading nation of integrity.

“Jawapan terletak di tangan Najib,” katanya ringkas.