Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low didakwa cuba menggambarkan kononnya wujud derma dari Putera Arab membabitkan jumlah AS$25 juta selepas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terbongkar pada 2015.

Ketua pasukan pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam kenyataan pembukaan perbicaraan kes 1MDB Najib hari ini berkata, dokumen palsu juga dihasilkan dalam cubaan untuk menutup jejak skandal itu.

“Dokumen palsu dihasilkan untuk menggambarkan kononnya ada derma daripada putera Arab. Antaranya ialah surat-surat dan empat cek yang setiap satu berjumlah AS$25 juta kononnya ditulis oleh pihak yang dikatakan penderma Arab.

“Tetapi cek-cek berkenaan bukan bermaksud untuk ditunaikan dan tidak pernah ditunaikan.

"Pihak pendakwaan juga akan mengemukakan bukti yang menunjukkan tertuduh mengambil langkah aktif untuk mengelakkan keadilan. Beliau juga mengganggu perjalanan penyiasatan kes ini yang dikenali sebagai Skandal 1MDB.

"Beliau juga mengambil langkah aktif untuk menutup perlakuan jenayahnya. Pihak pendakwaan akan mengemukakan semua bukti ini untuk menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai mens rea (niat untuk jmelakukan enayah)," katanya ketika membentangkan kenyataan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah pada hari pertama perbicaraan kes 1MDB Najib hari ini.

BACA: Sri Ram's opening statement at Najib's 1MDB trial

Jelas Gopal lagi, sejumlah AS$700 juta daripada AS$1 bilion wang pembiayaan syarikat usahasama yang dimeterai melalui perjanjian Murabaha antara syarikat 1MDB dengan PetroSaudi International LTD disalurkan ke akaun syarikat Good Star milik Jho Low.

Daripada jumlah AS$700 juta tersebut, ia telah diagihkan kepada beberapa individu termasuk Putera Faisal yang merupakan sekutu rapat Najib, Jho Low dan seorang Putera Turki.

“Putera Turki, tertuduh dan Jho Low amat rapat hinggakan mereka bercuti bersama-sama atas kapal lapar di utara Perancis,” jelasnya lagi.

Dakwa Gopal, pihak pendakwaan akan mengemukakan bukti bahawa tertuduh Najib memainkan peranan penting dengan niat memperkayakan dirinya dan mengelak untuk di adili.

“Dia (Najib) campur tangan dalam siasatan kes yang kemudian dikenali sebagai skandal 1MDB,” kata Gopal di hadapan Hakim Mahkamah TInggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah.

Beliau mewakili Ketua Pendakwaan bersama tujuh peguam yang lain manakala pihak pembelaan diwakili Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bersama 11 peguam bela.


Terdahulu, empat saksi tampil memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan skandal 1MDB membabitkan Najib di Mahkamah Tinggi 1, di sini.

Bekas perdana menteri itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.