Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini bagi menyambung keterangan berhubung siasatan kes SRC International.

Beliau yang tiba kira-kira 9.45 pagi tadi memakai kot berwarna hitam dan menemui barisan peguamnya yang tiba lebih awal.

Najib diwakili bekas peguam cara negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, serta enam lagi peguam dalam pasukannya.

Terdahulu, bekas pegawai PetroSaudi International Ltd Xavier Andre Justo turut dilihat memasuki perkarangan pejabat SPRM kira-kira jam 8.55 pagi.

Pada Selasa, Najib memberikan keterangan selama 5 jam kepada SPRM berhubung kemasukan dana daripada SRC International ke dalam akaun peribadinya.

Justo di ibu pejabat SPRM hari ini. Astro AWANI / SHAHIR OMAR

Ini juga merupakan kali kedua Justo hadir ke pejabat SPRM selepas membuat kemunculan yang mengejutkan pihak media semalam.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Isnin mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Siasatan 1MDB untuk menjalankan siasatan terperinci, pengesanan dan penyitaan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB.

BACA: Justo hadir ke SPRM, Pasukan Khas 1MDB bermesyuarat

BACA: Najib beri keterangan sekali lagi kepada SPRM Khamis ini

BACA: Najib Razak tiba di ibu pejabat SPRM

BACA: Najib perlu hadir ke Ibu Pejabat SPRM pukul 10 pagi