Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bakal berdepan 21 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Datuk Sri Noor Rashid Ibrahim dalam satu kenyataan sebentar tadi menyebut bahawa 21 pertuduhan yang dikenakan itu melibatkan dana RM2.6 bilion atau AS$681 juta.


Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Datuk Sri Noor Rashid Ibrahim

Kenyataan media Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Datuk Sri Noor Rashid Ibrahim.

Daripada 21 pertuduhan itu, sembilan pertuduhan melibatkan penerimaan wang haram, lima pertuduhan melibatkan penggunaan wang haram, dan tujuh pertuduhan melibatkan pemindahan wang haram ke entiti lain.

Ini tidak termasuk beberapa pertuduhan lagi yang akan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menurut kenyataan itu lagi.

Najib ditahan SPRM sejak jam 4 petang semalam sebelum dibawa ke pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Menara 238 di Jalan Tun Razak di ibu negara untuk dirakam percakapan sebentar tadi.

Najib dijangka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur jam 3 petang ini.