Kenderaan membawa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mula keluar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini kira-kira jam 8.55 pagi.

Najib yang ditahan sejak jam 4 petang semalam dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Menara 238 di Jalan Tun Razak di ibu negara untuk dirakam percakapan.

Siasatan dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Beliau kemudian akan didakwa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi beberapa pertuduhan melibatkan dana RM2.6 bilion berkait kes 1MDB kira-kira jam 3 petang.



Menurut kenyataan SPRM semalam, Najib akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

Penahanan beliau melibatkan kes dana RM2.6 bilion yang berkait dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, mereka yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.