Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa beliau tidak terlibat dengan penubuhan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Katanya, penubuhan syarikat itu berada di dalam skop Unit Perancang Ekonomi (EPU).

“Saya percaya bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah melaporkan kepada EPU mengenai penubuhan SRC.

“Bagaimanapun, saya hanya menyedari penubuhan syarikat itu kemudiannya,” katanya kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Menurut Najib, pada Ogos 2010 beliau menerima surat daripada 1MDB memaklumkan mengenai cadangan pembentukan syarikat berkenaan.

Satu perbincangan turut diadakan antara Najib dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB ketika itu, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkenaan perkara tersebut.

“Saya percaya bahawa Shahrol telah menyediakan sesalinan draf surat ini pada masa itu.

“1MDB di dalam surat tersebut telah merangkakan rasional cadangan pembentukan tersebut sebagai satu panduan untuk melaksanakan pelaburan-pelaburan dalam sumber tenaga yang strategik,” katanya.

BACA: Najib tidak sedar rancangan SRC buat pinjaman KWAP

Najib turut mengakui idea penubuhan SRC adalah bertepatan dengan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10).

Katanya, ketika itu, kerajaan mengambil kira faktor pertambahan keperluan bagi sumber tenaga semula jadi seperti arang batu dan minyak serta gas bagi menjayakan pembangunan inisiatif tersebut.

Justeru, jelas Najib, beliau telah mengarahkan EPU untuk mengkaji cadangan tersebut, di mana menteri yang bertanggungjawab ketika itu adalah Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

“Hal ini kerana skop penubuhan SRC iadalah suatu inisiatif yang julung kali dijalankan,” ujarnya.

Satu memo telah dikeluarkan dan diedarkan oleh EPU pada Oktober 2010 mengenai cadangan untuk meluluskan penubuhan SRC.

Najib kemudian memaklumkan penubuhan SRC telah diluluskan oleh Nor Mohamed Yakcop dalam satu surat bertarikh 3 Jun 2011.