Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengalu-alukan cadangan supaya kes pembunuhan berprofil tinggi yang berlaku lebih 10 tahun lalu dibuka semula.

Menulis di laman Facebooknya, Najib mengalu-alukan gesaan veteran DAP Lim Kit Siang yang mendesak agar kes pembunuhan model Mongolia Altantuya Sharriibbuu, bekas timbalan pendakwa raya Kevin Morais dan bekas pengerusi Ambank, Hussain Najadi dibuka semula dan disiasat pasukan siasatan khas.

"Sudah melangkaui 10 tahun, saya dituduh oleh Pakatan dan pakar propaganda mereka bahawa saya terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya, Kevin Morais dan Hussain Najadi.

"Oleh itu, sudah tiba masa untuk keadilan diberikan kepada saya. keluarga mangsa dan memberi ruang kepada semua rakyat Malaysia yang pernah menuduh dan memfitnah saya, menginsafi apa yang mereka lemparkan selama ini.

"Saya mengalu-alukan gesaan YB Lim Kit Siang hari ini untuk membuka semula kes-kes ini dan penubuhan satu pasukan siasatan khas. Saya menggesa Perdana Menteri untuk menyokong saranan saya dan Kit Siang untuk berbuat demikian," katanya.

Ironinya kata Najib, Kit Siang merupakan antara individu pertama yang cuba melibatkan beliau dengan pembunuhan bekas pengerusi Ambank Hussain Najadi.

Kata Najib, mediang Hussain Najadi kononnya dibunuh kerana bakal membongkar tentang kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun periabdinya di Ambank.

"Mendiang Hussain Najadi dibunuh oleh pembunuh upahan pada bulan Julai 2013. Selama tempoh dua tahun, tidak ada seorang pun yang menuduh saya," katanya lagi.

Ahli Parlimen Pekan itu menjelaskan mendiang Hussain Najadi telah menjual semua sahamnya dalam Ambank pada tahun 1982 dan tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengan bank itu selama 31 tahun sehingga mendiang dibunuh dengan kejam.

"Saya tidak tahu mengapa Hussain dibunuh kerana kononnya tahu tentang isu RM2.6b. Agak pelik kerana kesemua pegawai-pegawai Ambank dan BNM yang juga tahu tentang kemasukan wang ini semua masih hidup lagi?" soal beliau.

Najib berkata, semua kertas siasatan dan kuasa agensi-agensi siasatan untuk ketiga-tiga kes pembunuhan ini ada pada tangan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Tiada sebab mereka tidak mengambil langkah itu tanpa lengah dan dengan segera melainkan mereka masih ada rancangan untuk menggunakan isu ini pada masa depan untuk terus memfitnah saya.

"Perlu diingati bahawa angkara fitnah itu lebih besar dosanya daripada pembunuhan. Oleh itu, saya mahu semua tuduhan-tuduhan pembunuhan terhadap saya disiasat dan diputus supaya kita tahu siapa yang benar-benar berdosa," katanya.