Lebih 3,000 tetamu berkunjung menghadiri rumah terbuka bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di kediamannya di Sri Kenangan di sini.

Sebelum ini, beliau yang juga Anggota Parlimen Pekan itu mengadakan rumah terbuka hari raya pertama di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta ia hanya diadakan di sini selepas minggu kedua Syawal.

"Hari Raya kali ini memang berbeza sedikit dengan sebelum ini sebab saya tidak lagi berkhidmat dalam kerajaan, namun kita perlu teruskan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat dan berkhidmat sebaik mungkin kepada mereka yang memberi kepercayaan kepada kita," katanya ketika ditemui pada majlis itu di sini hari ini.

Beliau berharap kehadiran Syawal kali ini mampu merapatkan kembali silaturrahim semua rakyat Malaysia yang mula renggang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas berikutan kata-kata yang mungkin mengguris perasaan sepanjang kempen berlangsung.

Turut kelihatan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan beberapa Exco kerajaan negeri.

Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke majlis berkenaan, diiiringi anakanda putera puteri baginda.

Selain menikmati juadah yang dihidangkan, ramai yang hadir mengambil kesempatan bergambar dengan Najib dan Rosmah yang sedondon berbaju Melayu dan baju kurung merah.

-- BERNAMA