Syarikat penyedia perkhidmatan seru pandu (e-hailing), Grab dicadangkan didenda RM86.77 juta serta penalti kewangan harian sebanyak RM15,000 sehari bermula hari ini.

Itu cadangan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kerana Grab didakwa menyalahgunakan kedudukan dominannya melalui pengenaan beberapa klausa.

Antara penyalahgunaan yang dilakukan Grab ialah yang membataskan pemandu-pemandunya daripada mempromosikan dan menyediakan perkhidmatan pengiklanan kepada pesaing-pesaing Grab dalam perkhidmatan e-hailing dan pasaran pengiklanan media transit.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail, Grab diberi tempoh 30 hari untuk memberikan representasi mereka kepada MyCC.

"Klausa-klausa berkenaan telah memberikan kesan mengganggu persaingan dalam pasaran berkenaan yang berpremiskan kepada platform pelbagai sisi dengan mewujudkan halangan kemasukan dan perkembangan kepada pesaing-pesaing Grab yang sedia ada termasuk pesaing-pesaing masa hadapan."

Berikutan penggabungan di antara Grab dan Uber pada hujung Mac 2018, Grab telah menjadi pemain dominan di dalam pasaran e-hailing, serta MyCC menerima banyak aduan terhadap Grab dan ia memaksa MyCC menjalankan siasatan.

"MyCC berpandangan bahawa perlakuan Grab bukan sahaja mempunyai kesan kepada pemandu-pemandu 'e-hailing' dan pesaing-pesaingnya, malah mempunyai kesan jangka masa panjang kepada pengguna."

"Bagaimanapun, disebabkan ini bukanlah keputusan akhir, Grab mempunyai peluang untuk mengemukakan pembelaannya dalam masa yang akan ditetapkan.” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Iskandar, keputusan cadangan yang dikeluarkan ini, selaras dengan Seksyen 36 AP 2010.

Ia adalah notis bertulis menyatakan fakta-fakta yang membolehkan MyCC menilai dan menyatakan sebab-sebab untuk keputusan cadangannya serta ia dikeluarkan kepada syarikat-syarikat terbabit bagi membantu mengemukakan representasi serta sebarang maklumat lain bagi menyokong representasi mereka kepada MyCC.

MyCC kemudiannya akan mengeluarkan keputusan akhir di bawah Seksyen 39 atau 40 AP 2010 setelah menilai kesemua representasi serta maklumat dan bukti yang diketangahkan.

AP 2010 berkuatkuasa pada 1 Januari 2010 dan dengan itu, perniagaan haruslah patuh akan peruntukan-peruntukan yang terkandung di dalam AP 2010.