Yayasan MyAQSA (MyAQSA) telah mengumpukan bukti dan keterangan saksi untuk diserahkan kepada pihak pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada hujung tahun ini bagi membolehkan Israel didakwa atas jenayah kemanusiaan.

Menurut Ketua Delegasi Khas MyAQSA Lukman Sheriff Alias, dalam pertemuan MyAQSA dan ICC di The Hague, Belanda pada Mei lepas, ICC telah menyarankan supaya dikumpulkan bukti dan saksi-saksi yang boleh digunakan untuk mengheret Israel ke mahkamah.

Susulan itu, katanya MyAQSA telah melakukan penyelidikan di tiga kawasan penempatan penduduk Palestin yang paling terkesan dengan kekejaman tentera Zionis pada awal bulan ini, dan mengenal pasti saksi-saksi yang diperlukan untuk pendakwaan.

"Delegasi kami seramai 10 orang telah pergi ke penempatan penduduk di Wadi Al-Hummus, Issawiyya dan At-Tur dalam kawasan Baitulmaqdis dan menghabiskan masa selama tiga hari mengambil keterangan berkenaan aktiviti jenayah kemanusiaan yang dilakukan rejim Israel.

"Lebih 20 mangsa ditemu bual dan keterangan dirakamkan secara terperinci selain gambaran rumah dirobohkan secara zalim, ladang buah zaitun dimusnahkan turut direkod agar dapat dibawa untuk perhatian pejabat pendakwa raya ICC," kata Lukman yang juga peguam MyAQSA pada sidang media di sini pada Rabu.

Hadir sama Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MyAQSA Dr Noorazman Mohd Samsuddin.

Lukman berkata pihaknya kini sedang menyiapkan laporan lengkap terhadap kunjungan ke Baitulmaqdis itu, yang menurutnya mempunyai bukti dan keterangan yang kukuh untuk mensabitkan Israel atas kesalahan melakukan jenayah terhadap kemanusiaan, satu daripada jenayah yang diperuntukkan dalam Statut Rom, ICC.

Menurutnya juga Israel telah melanggar Resolusi 2334 apabila berterusan membina penempatan baharu kaum Yahudi di tanah milik rakyat Palestin sedangkan resolusi yang diluluskan Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2016 itu jelas menyatakan Israel perlu menghentikan serta-merta semua aktiviti penempatan baharu untuk penduduk Yahudi di bumi Palestin.

Sementara itu, Walid berkata MyAQSA adalah satu-satunya pertubuhan yang mengambil inisiatif membantu rakyat Palestin untuk mendakwa Israel di ICC.

"Terima kasih kepada MyAQSA, kerajaan dan rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong kami dan kami akan bekerjasama rapat untuk memastikan kejayaan inisiatif ini," katanya.

-- BERNAMA