Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan pihaknya tidak akan berdiam diri selepas bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dibebaskan dari pertuduhan rasuah oleh mahkamah pada Selasa.

Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, meskipun keputusan tersebut memihak kepada seteru politiknya, usaha itu (memerangi rasuah) tidak akan terhenti di situ.
"Kita tahu apa yang akan dilakukan, pasal kita bukan berhenti di situ sahaja, tidak bererti bila keadaan itu terlepas kita akur, untuk maklumanlah," katanya.
Musa semalam dibebaskan daripada 46 tuduhan rasuah oleh Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.
Sementara itu Mohd Shafie berkata, antara yang akan 'diusahakan' oleh pihaknya adalah yang membabitkan kes-kes rasuah seperti di Jabatan Air Sabah beberapa tahun lalu.
"Jadi kita akan buat sesuatu untuk pastikan, kerana banyak duit hilang, takkan duit di Jabatan Air itu terbiar seumpama itu, yang ada bukti nampak sangat.
"Yang contoh macam Datuk Peter (Anthony) kena tangkap, I don't want to dispute, tetapi nampakkah duit itu?, di rumah diakah?, di pejabat diakah?, di kereta diakah?," soalnya.
Mohd Shafie berkata demikian dalam sidang media di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, pada Rabu.
Sementara itu, beliau yang juga Ketua Menteri Sabah turut mendedahkan, pihaknya bersedia untuk menentang sebarang anasir yang dilihat cuba memporak-porandakan negeri itu sehingga mengheret kepada konflik politik.
"Jika mahu memporak-perandakan Sabah, jika kamu mahu lawan, kita akan lawan," katanya lagi.