Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak yang telah berunding dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dalam mencapai kata sepakat mengenai urusan minyak dan gas serta cukai jualan ke atas produk petroleum di Sarawak.

“Alhamdulillah, isu ini telah berjaya diselesaikan dengan beberapa perincian yang sedang dibincang oleh kedua-dua pihak.

“Saya percaya apabila Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sehaluan, yang untung ialah rakyat.

“Insya-Allah, rundingan dengan Sabah akan kita mulakan selepas Pilihanraya Negeri Sabah,” jelas beliau ketika berucap di Majlis Sambutan Hari Malaysia 2020 di Sibu, Sarawak pada Rabu.

Sambutan Hari Malaysia 2020 itu turut dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri; Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal serta barisan menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan Sarawak.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata isu-isu yang dianggap sukar boleh diselesaikan dengan baik apabila Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sehaluan.

“Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan saya kepada kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan sahabat baik saya YAB Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Johari Tun Datuk Abang Haji Openg yang telah berunding dengan Petronas.

“Ia bagi mencapai kata sepakat mengenai urusan minyak dan gas serta cukai jualan ke atas produk petroleum di Sarawak,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, isu kedaulatan wilayah juga akan terus dipertahankan tanpa sebarang kompromi.

“Saya ingin tegaskan bahawa Sabah dan Sarawak akan terus kekal berada dalam Malaysia.

“Kerajaan Persekutuan tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan kedaulatan negara kita," katanya.

Tambah beliau, pihaknya menerusi Majlis Keselamatan Negara dan agensi-agensi penguatkuasaan memikul tanggungjawab bersama untuk terus mempertingkatkan kawalan sempadan negara.

“Ia bagi mengekang sebarang cubaan untuk menceroboh dan mengancam kedaulatan negara.

“Ini termasuk melaksanakan Ops Benteng dan meningkatkan penguatkuasaan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM),” jelasnya lagi.


BACA: Kerajaan komited pastikan hak Sabah, Sarawak dipelihara, tubuh Majlis Khas - Perdana Menteri