Pensyarah Pusat Islam di Fakulti Teologi, Universiti Oxford, United Kingdom, Datuk Dr Muhammad Afifi Al-Akiti, diumum penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1439H/2017.

Beliau menerima wang tunai RM50,000, sebuah trofi dan sijil penghargaan.

Anugerah disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, sempena majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1439H/2017 di Masjid Wilayah, di sini malam tadi.

Turut mengiringi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha.

BACA: Adakah kita Arab? Tidak. Adakah kita Muslim? Ya. - Dr Afifi Al-AkitI

Lapan individu lain pula menerima Anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun ini.

Mereka ialah Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka, Datuk Yaakub Md Amin; Atase Agama di London, Datuk Wan Mohamad Syeikh Abdul Aziz; mantan Duta Malaysia pertama ke Palestin, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari.

Pengerusi Yayasan Murni Aqidah (YMA), Datuk Aidit Ghazali; Pengerusi Eksekutif International Shaariah Research Academy (ISRA), Prof Dr Mohamad Akram Laldin; Penel Pemikir Dakwah Negara, Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin; Ahli Majlis Perundingan Islam, Profesor Datin Raihanah Abdullah serta penyelidik astronomi, Dr Nur Adlyka Ainul Annuar.

Semua mereka menerima wang tunai RM20,000, sebuah trofi serta sijil penghargaan.

Penganugerahan itu berdasarkan sumbangan besar individu terbabit dalam memartabatkan syiar Islam di peringkat kebangsaan dan global yang diiktiraf pelbagai pihak.