Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berpendapat adalah tidak wajar untuk Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menggantung perkhidmatan kongres tersebut yang telah memperjuangkan hak pekerja di negara ini sejak sekian lama.

Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor berkata, pihaknya juga mahu mengetahui isi kandungan surat tunjuk sebab oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), yang mengakibatkan organisasi itu berdepan kemungkinan penggantungan.

Ini kerana jelasnya, setakat hari ini MTUC masih belum menerima surat tunjuk sebab tersebut.

“Kami ingin tahu apa isi kandungan yang menyebabkan MTUC digantung daripada menjalankan aktiviti-aktiviti yang menjadi kemusykilan kepada kami.

“Kami telah memberitahu kepada pihak RoS bahawa kita akan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa pada 12 Disember (lalu) untuk mengadakan Majlis Am (Majlis Umum) pada 29 Disember bagi menentukan dan membincangkan persediaan bagi pemilihan pegawai-pegawai MTUC setiap tiga tahun,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Ahad.

BACA: JPPM keluar notis Kenyataan Sebelum Pendaftaran Dibatalkan terhadap MTUC

Katanya, MTUC telah berkunjung ke pejabat RoS pada Jumaat lalu bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara itu.

Tambah Abdul Halim, RoS sebelum ini turut memaklumkan bahawa surat yang dikeluarkan kepada MTUC telah dibatalkan sebelum pihaknya dimaklumkan terdapat surat baharu yang dikeluarkan pada 18 Disember.

Dalam pada itu, Abdul Halim turut mengulas kenyataan bekas Setiausaha Agung MTUC, N. Gopal Kishnam, yang mendakwa kepimpinan semasa organisasi itu menyembunyikan segala-galanya daripada Majlis Umum Kesatuan.

“Jadi, di sini saya ingin menyatakan bahawa cadangan Gopal, yang merupakan rakan saya yang sama-sama menjadi salah seorang yang dituntut dalam kes mahkamah dalam kes MUTC, boleh mengatakan saya dan Setiausaha Agung (J Solomon) menyorok sesuatu.

“Apa sahaja kes yang dikendalikan oleh Mahkamah Tinggi, Gopal adalah rakan yang menjadi salah satu orang yang dituntut oleh kes di mahkamah.

“Beliau sepatutnya prihatin dan memahami perjalanan pentadbiran MTUC, dan pada masa ini kes yang sensitif sedang berlaku iaitu percubaan mengantung dan mungkin membatalkan MTUC,” katanya.

Justeru, Abdul Halim berkata satu sidang media akan diadakan pada Selasa bagi menjelaskan kedudukan MTUC, sekiranya pihaknya masih belum menerima surat tunjuk sebab selewat-lewatnya pada Isnin.

Terdahulu, MTUC diarahkan menjawab surat tunjuk sebab dalam masa 30 hari oleh RoS kerana didakwa mempunyai pengurusan kurang cekap.