Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyeru 14 juta pekerja di seluruh negara untuk menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia yang dilancarkan kerajaan, semalam.

Timbalan Setiausaha Agungnya, A. Balasubramaniam, berkata kebanyakan pekerja menyokong tujuan itu atas dasar semangat patriotism bagi membantu meringankan beban hutang negara.

"Ini adalah inisiatif yang harus dipuji. Saya rasa ramai akan tampil sebagai rakyat yang bertanggungjawab dan menghulur derma bagi membantu kerajaan mengurangkan hutang selepas pengumuman bahawa hutang negara mencecah RM1 trilion.

"Saya rasa ramai pekerja akan menyertai kempen menderma beramai-ramai ini dan membantu mengurangkan hutang bagi membina semula ekonomi negara," katanya ketika ditemui Bernama.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata setakat 3 petang semalam, tabung itu berjaya mengumpul RM7.08 juta selepas kurang dari 24 jam ia dilancarkan.

Mengenai sifar peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang berkuat kuasa hari ini, Balasubramaniam berkata MTUC telah berjuang untuk menghapuskan cukai itu sejak sekian lama.

"Pelaksanaan sifar GST ini bertepatan pada waktunya ketika rakyat sedang bergelut dengan kenaikan kos hidup," katanya. -- Bernama