Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta Kementerian Pengangkutan melantik wakil pekerja dalam Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) bagi menjaga kepentingan 20,000 pekerjanya.

Pemangku Presiden MTUC, Abdullah Sani Abdullah Hamid berkata lembaga itu tidak mempunyai wakil sejak Jun 2008 selepas berlaku rombakan.

Beliau berkata MTUC tidak setuju dengan dakwaan kementerian bahawa ahli lembaga LPK perlu terdiri daripada golongan profesional, iaitu mereka yang mampu menyumbang kepada operasi pelabuhan.

"Sumbangan pekerja kepada operasi pelabuhan adalah penting dan mereka seharusnya diwakili dalam lembaga itu," katanya kepada Bernama selepas merasmikan mesyuarat agung kesatuan sekerja Pelabuhan Utara pada Sabtu.

Katanya, kakitangan mempunyai wakil dalam lembaga itu sejak 1964, kecuali dari 1986 hingga 1994.

"Kami berharap kementerian akan mempertimbangkan dan melantik semula wakil dalam kalangan pekerja kesatuan pelabuhan secepat mungkin bagi mengekalkan suasana harmoni dalam industri dan perkhidmatan pelabuhan berfungsi dengan effisyen," katanya. -- Bernama