MRT Corp sedang berusaha mencari jalan untuk mengurangkan kos bagi projek Transit Aliran Berkapasiti Tinggi 2 (MRT2).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Shahril Mokhtar, yang bertemu dengan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) hari ini berkata kedua-dua pihak bertukar-tukar idea bagaimana untuk mengurangkan kos MRT2, yang mempunyai kos pembinaan dianggarkan sebanyak RM32 bilion.

"Pada dasarnya, kami berbincang dengan CEP untuk menyelesaikannya. Kami berbincang mencari jalan untuk mengurangkan lagi kos, terutamanya bagi laluan 2," katanya kepada pemberita di Menara Ilham hari ini.

Shahril berkata meskipun tiada angka khusus yang disebut oleh CEP, mesyuarat itu membuahkan hasil dan kini MRT Corp bertanggungjawab untuk melaksanakan pengurangan itu.

Beliau juga mengulangi bahawa projek MRT3 ditangguhkan buat masa ini.

-- BERNAMA