Pelaksanaan moratorium jika dilanjutkan mungkin akan diberikan kepada golongan sasar yang terjejas akibat COVID-19 dan bukan secara automatik kepada semua pihak seperti yang disediakan sebelum ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pendekatan itu dilihat lebih berkesan untuk membantu mereka yang benar-benar terjejas termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pemotongan gaji.

Beliau berkata, bagaimanapun, kerajaan ketika ini sedang berbincang dengan bank mengenai perkara itu dan adalah terpulang kepada mereka sama ada boleh melanjutkannya atau tidak.

"Di pihak kerajaan, kita sedang berbincang dengan bank kerana ini adalah bergantung kepada bank sama ada mereka boleh (lanjutkan) atau tidak.

"Pada pandangan saya, kita perlu tolong orang yang perlu ditolong. Oleh kerana semasa peringkat awal kita laksanakan moratorium ini, kita telah tolong semua orang termasuk mereka yang mempunyai pendapatan tetap bulanan turut mendapat manfaat ini.

"Untuk masa hadapan, paling baik adalah kita memfokuskan kepada kumpulan sasar yang benar-banar memerlukan bantuan ini khususnya mereka yang hilang pekerjaan dan terlibat dengan pemotongan gaji," katanya di sini pada Ahad.

Yang turut hadir Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Operasinya, Muhammad Nizam Alias.

Terdahulu beliau hadir mengadakan lawatan ke Ibu pejabat Prasarana selain meluangkan masa mendaftarkan pas perjalanan tanpa had My30.

Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata, Prasarana komited melaksanakan beberapa inisiatif bagi merancakkan aktiviti ekonomi negara khususnya di Lembah Klang dan Selangor.

"Selain menggunakan sepenuhnya pakej perjalanan tanpa had My30 sebagai pemangkin untuk menyemarak aktiviti ekonomi dan perniagaan, mereka turut melaksanakan inisiatif termasuk menawarkan tambahan diskaun untuk pakej perjalanan pas MyCity dan menawarkan ruang percuma di stesen-stesen Taransit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Monorel Kuala Lumpur (Monorel), Bas Rapid Transit dan perkhidmatan bas henti-henti Rapid KL sekitar kawasan ini," jelasnya.