Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu sekali lagi menegaskan beliau tidak akan melindungi anak lelakinya, Ahmad Saiful Islam Mohamad, 31 tahun, yang ditahan kerana positif ganja baru-baru ini daripada undang-undang.

“Tidak ada masalah, itu kita serah kepada undang-undang. Saya tidak akan melindungi (dia) daripada undang-undang. Saya serah kepada pihak polis.

“Macam anak orang lain juga, tiada yang istimewa. Kami menteri sekarang bukan nak lindungi anak-anak,” katanya seperti dipetik Bernama ketika ditemui pemberita selepas majlis ramah mesra bersama kira-kira hampir 100 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Felda Sungai Koyan 3 pada Rabu.

Turut hadir, Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian ketika ditanya berhubung isu penangkapan anaknya itu, sama ada ia akan menjejas peluang Pakatan Harapan (PH) dalam kempen Plihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

BACA: Anak Mat Sabu ditahan positif ganja

BACA: 'Anak saya sama seperti anak orang lain', Mat Sabu serah pada pihak berkuasa

Katanya, isu itu tidak akan menjadi liabiliti untuk PH meraih kemenangan dalam PRK 26 Jan nanti.

Tambahnya lagi, tidak ada masalah bagi jentera PH untuk memenangi hati dan peratusan undi pengundi, terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai yang disandang oleh Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

BACA: Anak Mat Sabu dibebaskan dengan jaminan polis

BACA: 'No double standard' - Keputusan laporan sampel anak Mat Sabu akan dipercepat

Ditanya mengenai keyakinan pengundi di Felda Sungai Koyan akan menyokong PH, Mohamad yakin kawasan itu akan menyaksikan peratusan tinggi undi berikutan peti undi di kawasan itu mencatat kemenangan tipis iaitu 44 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Kita akan tumpu dari rumah ke rumah kerana kita yakin isu yang akan mereka (pembangkang) mainkan adalah isu perkauman yang kita tahu banyak yang tak betul,” katanya.

PRK Cameron Highlands diadakan berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya bahawa kemenangan calon MIC Datuk C. Sivarrajh dalam PRU14 adalah terbatal.