Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dilantik menjadi Ketua Polis Negara ke-11 menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Mohamad Fuzi berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Universiti Malaya (UM) dan Ijazah Sarjana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan Antropologi dan Sosiologi pernah menyandang pelbagai jawatan dalam PDRM.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau adalah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh dan Taiping serta Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Bukit Aman.

Pada 2014, beliau pernah memangku jawatan Timbalan Ketua Polis Negara selama beberapa bulan berikutan penyandangnya pada masa itu, Tan Sri Mohd. Bakri Zinin bersara wajib.

Sementara itu, Khalid dalam ucapan penghargaan dan amanatnya berkata, beliau akan terus berjuang sebagai polis dengan caranya sendiri.

Beliau juga mahu PDRM terus meneruskan misi memartabatkan agensi itu ke kedudukan tertinggi.

Khalid berkata persaraannya, yang dibuat awal sehari sebelum hari lahirnya diputuskannya sendiri.

Menurut Khalid, persaraannya yang dibuat awal sehari sebelum hari lahirnya diputuskan sendiri. - Gambar fail

Khalid, yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, berpengalaman lebih 40 tahun dalam PDRM selepas memulakan khidmatnya dengan pasukan keselamatan itu sebagai inspektor pada 5 Disember 1976.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, soal siapa yang akan menyandang beberapa jabatan di Bukit Aman akan diputuskan oleh pihak suruhanjaya sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan baginda.

Katanya, persoalan itu tidak harus dijadikan spekulasi kerana Perkenan Yang di-Pertuan Agong merupakan suatu yang mutlak atas nasihat Perdana Menteri.

Sepanjang perkhidmatan Khalid sebagai Ketua Polis Negara, beliau telah banyak melakukan transformasi di Bukit Aman, juga membantu menterjemahkan misi KDN bagi mengurangkan indeks jenayah di negara ini hingga kini mencapai penurunan sebanyak 47 peratus.