Syarikat gergasi teknologi global, Microsoft, Amazon dan Google menunjukkan minat untuk membantu Malaysia dalam bidang teknologi maklumat.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sesi soal jawab Town Hall bersama penjawat awam di Johor Bahru pada Sabtu.

Jelasnya, perbincangan dengan wakil syarikat terbabit telah diadakan baru-baru ini.

"Ramai yang sudah menunjukkan minat bantu Malaysia, baru-baru ini Microsoft, Amazon dan Google berjumpa dengan saya menyatakan persediaan untuk memajukan Malaysia dalam bidang teknologi maklumat supaya negara ini menjadi pusat serantau.

"Pertamanya, negara kita tidak ada connectivity, internet tidak efisien sehingga murid panjat pokok kerana internet tidak efisien, itu 'big story'... is something huge atas dasar itu, perkara itu, komitmen tidak jadi halangan sudah jadi dasar baru untuk dilaksanakan pada masa hadapan," katanya.

Tambah Perdana Menteri, diharapkan menerusi kerjasama itu segala urusan pentadbiran berkaitan penjawat awam boleh dilakukan dengan mudah.

Sebelum ini, tular video seorang penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPTA) di Sabah, Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah semata-mata untuk mendapatkan talian internet.

Veveonah dikatakan berbuat demikian ketika menduduki peperiksaan atas talian.