MIC menyambut baik cadangan menginstitusi Muafakat Nasional dengan turut melibatkan rakan komponen Barisan Nasional (BN) termasuk parti kaum berasaskan kaum India itu.

Presidennya, Tan Sri S A Vigneswaran bagaimanapun menjelaskan, kerjasama antara semua parti dalam Muafakat Nasional perlu dilakukan dengan telus dan tidak meminggirkan mana-mana pihak.

"Pada pendapat saya Pemuda UMNO menegaskan bahawa dalam Muafakat Nasional ini untuk tolong masukkan MIC dalam all the organisation, percaturan dan sebagainya. Saya mengalu-alukannya. Dalam kerjasama kita kena berpegang baik-baik.

"Kalau kita bincang sebagai satu entiti dan Pas sebagai satu entiti untuk pilihan raya ini mungkin selepas ini kita ada percanggahan. Jadi kalau kita betul telus dan nak kerjasama, kena ada permuafakatan dari segi sistem. Tak bolehlah kita janji semua nak buat dan esok BN pula menang, Pas dipinggirkan tak boleh atau kita dipinggirkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Jumaat.

Malah katanya, MIC bersetuju dengan Muafakat Nasional bukan kerana mahu menang pilihan raya sebaliknya untuk mewujudkan kesefahaman antara semua kaum.

"MIC bersetuju kerana perkataan Muafakat itu keluar apabila Tok Guru melawat MIC. Memang kita nak kerjasama. Kita kerjasama bukan kerana nak menang kerusi.

"Namun, kita kerjasama dengan Pas sebab berpendapat penyokong Pas adalah berlainan. Jadi perlu ada persefahaman dengan Pas, kaum Melayu dan India bekerjasama dengan Pas," ujar beliau lagi.

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan sama ada untuk menginstitusikan Muafakat Nasional bergantung kepada Laporan Kajian Peringkat Jawatankuasa Teknikal UMNO dan Pas.

Pada masa sama, bagi Barisan Nasional, sebarang keputusan mengenai perkara itu perlu dibincangkan secara konsensus dalam parti.