Belum ada mana-mana pihak keluarga penumpang warga Malaysia atau petugas Penerbangan Malaysia (MAS) pesawat MH370 yang tampil membuat tuntutan daripada Pertubuhan Keselatan Sosial atau PERKESO, walaupun mereka telah boleh berbuat demikian.

Seorang wakil PERKESO memberitahu Astro AWANI, mereka telah menghubungi MAS dan syarikat teknologi Freescale Semiconductor namun kedua-duanya membuat keputusan untuk menunggu terlebih dahulu sebelum memulakan tuntutan pampasan.

Semua rakyat Malaysia yang secara rasminya bertugas semasa berada di dalam pesawat tersebut layak dan dilindungi oleh PERKESO di bawah ‘Skim Bencana Pekerjaan', kata pegawai itu.

‘Kecederaan Pekerjaan’ tertakluk di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 yang memberi perlindungan kepada pekerja terhadap kemalangan semasa menjalankan pekerjaan dan kemalangan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja atau tugasan.

Daripada sejumlah 50 warganegara Malaysia di dalam pesawat MH370, 12 terdiri daripada krew kabin manakala 12 lagi merupakan pekerja syarikat Freescale.

SOCSO turut memberitahu bahawa pegawai daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Mohd Sofuan Ibrahim turut layak bagi skim terbabit.

“Mereka yang berada di dalam penerbangan tersebut dan ketika itu sedang dalam perjalanan melakukan tugasan atau sedang bertugas layak untuk dilindungi oleh skim ini, namun sekiranya ia adalah percutian persendirian, maka mereka tidak dilindungi oleh skim tersebut,” katanya.

Kadar bayaran ialah berdasarkan kadar harian sebanyak 90% daripada gaji harian purata mangsa.

Daripada jumlah itu, 3/5 daripadanya akan dibayar kepada pasangan manakala 2/5 akan dibayar kepada anak-anak berusia bawah 21 tahun.

Sekiranya mangsa tersebut tidak mempunyai suami atau isteri, maka pampasan akan dibayar kepada ibu bapanya, datuk atau nenek, abang atau kakaknya.

Majikan sepatutnya menghantar borang tuntutan dan dokumen berkaitan selepas 48 jam kemalangan disahkan.

Sementara itu, tidak kira sama ada penumpang terbabit sedang bertugas atau tidak, keluarga penumpang yang dilindungi di bawah PERKESO boleh menuntut pampasan kematian dan menerima ‘Pencen Penakat.

Kadar pencen ialah di antara 50-65% daripada jumlah gaji bulanan mangsa yang diinsuranskan. Jumlah minimum iadalah RM475 manakala maksimum ialah RM1917.50.

Umur maksima bagi ‘Pencen Penakat’ ialah sebelum mencecah usia 60 tahun di mana ahli keluarga mangsa harus menguruskan penghantaran borang tuntutan.

“Faedah Pengurusan Mayat berjumlah sehingga RM1,500 juga boleh dibayar kepada ahli keluarga mangsa,” ujar pegawai terbabit.

Namun begitu, satu permasalahan untuk membuat tuntutan di bawah skim ini ialah sijil kematian yang belum dikeluarkan ekoran buat masa ini masih belum ada pengesahan sahih terhadap nasib pesawat terbabit.

Untuk sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi PERKESO di nombor perkhidmatan pelanggan 03-4257 5755 atau melayari laman web www.perkeso.gov.my.