Usaha pencarian dasar laut pesawat penerbangan MH370 di kawasan seluas 60,000 kilometer (km) persegi dijangka dapat disiapkan sepenuhnya Mei ini.

Jangkaan itu sesudah mengambil kira aspek kelewatan kapal, peralatan atau cabaran cuaca.

Sehingga kini, pencarian dasar laut menggunakan kapal Go Phoenix dan Fugro Vessels telah meliputi 31.04 peratus kawasan pencarian iaitu yang merangkumi keluasan kawasan 18,000 km persegi.

Bagaimanapun menurut Penolong Pengarah Sektor Operasi Penerbangan DCA, Kapten Mior Nor Badrishah Mohamad, tiada sebarang tanda serpihan pesawat ditemui.

“Kami yakin dengan kawasan pencarian ketika ini biarpun belum menemui sebarang petunjuk di bahagian tersebut.

“Jika pencarian tidak membawa sebarang hasil, kita akan membincangkan semula untuk memulakan operasi pencarian di kawasan lain.

“Begitupun, berdasarkan data pesawat dan INMARSAT, inilah lokasinya,” ujar Mior yang turut memberitahu, sekiranya cuaca buruk, pasukan pencari berdepan dengan ombak setinggi 12 hingga 15 meter.

Antara perkembangan minggu lalu, seperti yang dilaporkan di laman web Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), kapal GO Phoenix telah menyambung semula operasi pencarian pada 21 Januari lalu selepas dihentikan seketika akibat taufan tropika Bansi.

Pada masa yang sama kapal Fugro Equator dan Fugro Discovery meneruskan operasi pencarian dasar laut. Kapal Fugro Supporter menyusul beberapa hari selepas itu.

Dalam usaha mengesan pesawat, pencarian dasar laut sedang memetakan kemungkinan medan serpihan MH370 untuk mengenal pasti komponen spesifik termasuk perakam penerbangan bagi membantu siasatan.