Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah diarahkan oleh kerajaan Malaysia untuk berbincang dengan syarikat satelit Inmarsat bagi mendedahkan data asal pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 kepada umum.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara ini dilakukan demi pendirian kerajaan dalam mengutamakan kepentingan keluarga penumpang pesawat tersebut.

"Ini selari degan pendirian kami untuk ketelusan yang lebih tinggi dan mengutamakan kepentingan ahli keluarga penumpang pesawat MH370," kata beliau dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut memberitahu bahawa sebuah pasukan yang terdiri dari pakar teknikal telah berada di Canberra bagi membincangkan dan meneliti data, kiraan serta analisis satelit yang dibekalkan oleh Inmarsat.

Sementara itu, pihak berkuasa yang terlibat dalam usaha seterusnya pencarian MH370 bersetuju supaya kerja ukur batimatri di selatan Lautan Hindi akan dilakukan oleh kapal ukur china 'Zhu Kezhen'.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) dalam kenyataannya memaklumkan, persetujuan itu dicapai oleh pihak berkuasa Malaysia, Australia dan China yang bermesyuarat hujung minggu lepas.

Kerja ukur batimatri yang membabitkan pemetaan dasar laut secara menyeluruh, akan dilakukan di kawasan yang dikenal pasti Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB).

"Jika keadaan cuaca mengizinkan... Zhu Kezhen dijadual belayar ke kawasan mengukur pada Rabu," kata JACC.

Kerja ukur batimatri adalah antara perkara yang menjadi keutamaan dalam usaha mencari MH370 yang kini memasuki fasa transisi dan memberi keutamaan terhadap usaha mencari di dasar laut.

Sebelum ini, Inmarsat yang terlibat dalam memberi petunjuk laluan pesawat yang hilang sejak 8 Mac lalu itu, menafikan dakwaan kerajaan Malaysia bahawa ia tidak menyerahkan data asal yang diperolehinya kepada pihak penyiasat.

Firma dari United Kingdom itu berkata semua data asal telah diserahkan kepada pihak berkuasa sejak awal lagi.