Pasukan Petugas Persidangan MH17 menggariskan lima usul susulan dapatan Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) mengenai penembakan pesawat Malaysia Airlines MH17.

Presiden International Movement for a Just World (JUST), Dr Chandra Muzaffar berkata ia termasuk cadangan menghentikan tindakan perundangan terhadap empat suspek yang dinamakan sebagai orang yang bertanggungjawab dalam penembakan MH17 yang berlaku 5 tahun lalu.

Jelasnya, perkara tersebut akan diusulkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam masa terdekat.

“Keseluruhan pelan tindakan memerlukan masa untuk diputuskan. Ia memerlukan masa. Sebelum pelan tindakan ini diputuskan, tugas paling penting kepada kami adalah untuk cuba menghentikan proses perundangan.

“Iaitu menghentikan apa yang JIT ingin lakukan, iaitu membawa empat individu ke muka pengadilan seperti yang dimaklumkan sebelum ini,” katanya pada sidang media di sini pada Sabtu.

Chandra sebelum itu menjadi antara panel persidangan sehari tersebut yang menampilkan panel tempatan dan antarabangsa membincangkan isu-isu berbangkit berkaitan tragedi MH17.

Antara cadangan lain yang dikemukakan termasuk menubuhkan pasukan petugas perundangan untuk meneliti beberapa perkara berkaitan perundangan.

Selain itu, mereka juga mahu mewujudkan gerakan rakyat serta penglibatan langsung media dalam usaha membawa pengadilan yang sewajarnya.

Malah, pasukan petugas itu juga mahu satu kumpulan diwujudkan untuk menjadi perantara dengan kerajaan, bukan Malaysia malah negara-negara berkepentingan lain seperti Belanda, Rusia, Ukraine dan Australia.

Persidangan sehari itu dianjurkan bersama oleh JUST, Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) dan Pusat Kajian Globalisasi (CRG) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.

Pada 20 Jun lalu, Dr Mahathir menyifatkan dapatan JIT berkaitan tragedi tersebut adalah bermotifkan politik.

Dakwa beliau, pasukan JIT, yang diketuai penyiasat Belanda, dari awal lagi mahu menuduh Rusia dan sudah tentu sekarang mereka sudah mempunyai bukti pihak yang bersalah.

Suspek yang dinamakan JIT adalah Igor Girkin, bekas kolonel Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia; Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov, yang berkhidmat untuk Perkhidmatan Perisikan Tentera Rusia; dan Leonid Kharchenko, seorang bekas komander warga Ukraine.

Pendakwa Raya Belanda, Fred Westerbeke pada sidang media 19 Jun lalu berkata, siasatan juga mendapati Rusia menyediakan pelancar peluru berpandu dan peluru berpandu BUK Telar, yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat itu.

Pada sidang media yang sama, wakil Malaysia, Peguamcara Negara III, Mohd Hanafiah Zakaria menerima dapatan JIT itu kerana ia berdasarkan penyiasatan yang meluas dan penyelidikan undang-undang.

Pesawat Malaysian Airlines itu meletup di udara ketika terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Semua 298 penumpang, sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal terbunuh.

Penumpang lain membabitkan rakyat Australian, Britain, Malaysia dan Indonesia.