Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mungkin akan memulakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) untuk menangani masalah jerebu di Sarawak esok, bergantung pada kesesuaian keadaan atmosfera.

Ketua Pengarah MET Malaysia, Jailan Simon berkata, jabatannya sentiasa memantau keadaan dari semasa ke semasa untuk kemungkinan melakukan OPA jika keadaan atmosfera di negeri itu bertambah baik.

Menurut Jailan, pegawainya sudah bersiapsiaga di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Labuan bagi melaksanakan operasi tersebut bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada bila-bila masa.

“Keadaan yang sesuai untuk OPA biasanya apabila keadaan lembap iaitu terdapat wap air di udara dan apabila keadaan angin bertiup dengan perlahan dan tertumpu di kawasan tersebut.

“Buat masa ini, angin masih bertiup dari barat daya Sarawak dan kawasan tersebut memang sangat kering buat masa ini. Oleh itu kami belum boleh melaksanakan OPA buat masa ini.

“Jadi kami mungkin akan mulakan operasi esok (Selasa) dan pegawai kami memang sudah bersedia di Pangkalan Udara TUDM Labuan untuk melaksanakan pada bila-bila masa sahaja,” kata Jailan kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Isnin.

BACA: Jerebu: Kuching antara 3 kawasan di Sarawak dikesan 'sangat tidak sihat'

Katanya, hujan yang turun pada pagi Isnin sedikit sebanyak membantu meredakan jerebu di kawasan utara dan tengah Sarawak.

“Sebenarnya, hujan yang turun di kawasan utara dan tengah Sarawak pada pagi tadi mengurangkan jerebu den kawasan-kawasan berkenaan,” ujar Jailan.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata, cuaca berjerebu dalam negara berpotensi berlaku sehingga penghujung bulan ini atau awal Oktober.

Setakat pukul 1 petang, tiga kawasan di Sarawak iaitu Sri Aman, Kuching dan Samarahan mencecah bacaan Inseks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat yang melebihi 201.

Orang ramai dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti luar dan sentiasa memakai penutup muka, serta turut dinasihatkan untuk minum air yang banyak dan tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka dalam tempoh ini.

Maklumat dan ramalan cuaca terkini daripada MET Malaysia boleh diperoleh melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi myCuaca dan media sosial.