Kesemua individu yang menghadiri mesyuarat pasca Kabinet bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didapati negatif COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata kesemua mereka masih perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari kerana terdedah dengan pesakit positif.

"Semua anggota mesyuarat pasca Kabinet didapati negatif. Jadi tiada kes lain yang dikesan.

"Apa yang penting, individu yang dikesan (positif) telah diasingkan, bertindak balas dengan baik, tiada gejala tapi positif," katanya pada sidang media harian di sini hari ini.

Sementara itu, katanya tindakan boleh dikenakan kepada individu yang gagal mematuhi arahan kuarantin di rumah di bawah Akta 342.

"Mereka yang balik dr luar negara mesti dikuarantin untuk tempoh 14 hari iaitu di tempat yang telah dikenalpasti pihak berkuasa.

"Kita nasihatkan mereka yang ditetapkan untuk menjalani kuarantin di rumah, duduk di rumah.

"Apa yang kita laksanakan sekarang adalah menerusi pemantauan.

"Sama ada mereka keluar dari rumah atau tidak. Kalau mereka keluar dari rumah, bererti mereka telah ingkar kepada peraturan perintah kuarantin di rumah.

"Jadi tindakan boleh diambil bawah Akta 342 kepada mereka yang ingkar atau tidak patuh kuarantin di rumah," katanya.