Satu mesyuarat khas yang akan dipengerusikan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan diadakan bagi membincangkan jalan penyelesaian kepada kesesakan di Tambak Johor.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mesyuarat berkenaan akan diadakan pada 22 Ogos ini.

"KDN diberi tanggungjawab untuk menyediakan kertas kerja lengkap mengenai beberapa cadangan untuk mengatasi masalah itu," katanya, di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Lembu Korban Parlimen Pagoh di Taman Pagoh Jaya di sini, pada Jumaat.

Isu berkenaan pernah dibincangkan Dr Mahathir bersama rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Kesembilan, April lepas.

-- BERNAMA