Kembali menyarung jersi kebangsaan selepas tiga tahun, dan menyaksikan Malaysia menumpaskan Indonesia 3-2 di Stadium Gelora Bung Karno Jakarta, malam tadi mungkin menjadi kenangan paling manis buat pemain midfielder kebangsaan, Brendan Gan.

Pemain Malaysia kelahiran Australia itu berkata, beliau amat gembira melihat pasukan kebangsaan bangkit semula selepas ketinggalan satu gol sebelum berjaya mendahului Indonesia 3-2, yang sekali gus memberikan permulaan yang sempurna buat Malaysia dalam kempen pusingan kelayakan kedua Kumpulan G Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Untuk rekod, Gan sempat bermain untuk 15 minit pertama sebelum diusung keluar ekoran kecederaan 'anterior cruciate ligament (ACL)' semasa Malaysia tewas 0-3 kepada Indonesia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Manahan di Solo pada 2016.

"Tempoh tiga tahun yang telah saya lalui adalah tempoh yang sukar tetapi ia (kemenangan ini) bukan kerana saya semata-mata. Para pemain lain telah bermain secara luar biasa malam tadi dan pujian juga harus diberikan kepada para pemain lain," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini, setibanya dari Jakarta.

Sehubungan itu, kata Brendan, kemenangan yang tidak dapat dilupakan itu menjadi penyuntik semangat kepada skuad kebangsaan sebelum bertemu 'West Asian giants', Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Sept nanti.

"Saya fikir apa yang lebih baik ialah meraikan kemenangan ini dengan sikap positif kerana apabila kita datang ke Indonesia dan membawa pulang kemenangan, kita perlu mengambil beberapa aspek positif daripada perlawanan itu.

"Pertembungan dengan UAE nanti boleh jadi sangat sukar, tetapi kita tidak rugi apa-apa dan kita akan memberikan yang terbaik," kata pemain midfielder Perak itu.

-- BERNAMA