Kerajaan Negeri Melaka mewujudkan sebuah jawatankuasa khas pada Disember lepas, menerusi anak syarikatnya Melaka Heritage Sdn Bhd, berperanan menjaga dan memelihara nilai warisan serta sejarah selaras dengan keperluan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Santifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ketua Menteri Adly Zahari berkata kewujudan Melaka Heritage itu, yang diluluskan mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada November tahun lepas, penting bagi menjaga sejarah dan warisan Melaka yang menjana ekonominya, antaranya menerusi sektor pelancongan.

"Kita ada menerima surat daripada Kementerian Pelancongan mengenai perkara ini (pastikan Melaka memenuhi keperluan pengiktirafan UNESCO), namun kita telah mengambil langkah lebih awal dengan menubuhkan jawatankuasa tersebut," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke produk pelancongan Melaka, di sini pada Rabu.

Terdahulu, Adly turut mengadakan lawatan ke beberapa produk pelancongan di Ayer Keroh antaranya di Zoo Melaka dan Taman Mini Malaysia, selain Jonker Walk dan menyusuri Sungai Melaka bagi meninjau kawasan tumpuan pelancong di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri juga akan memberi perhatian dalam mengetengahkan produk pelancongan yang kurang dikenali, contohnya kediaman Munshi Abdullah, yang dianggap sebagai Bapa Sastera Melayu Moden, terletak berhampiran Jonker Walk.

"Nama beliau adalah tokoh yang dikenali ketika belajar sejarah di negara ini, namun ramai yang tidak tahu rumahnya di mana, oleh itu kerajaan negeri menerusi Perbadanan Muzium Melaka akan menjadikan ia satu daripada tarikan baharu untuk pelancong datang.

"Inilah aspek-aspek yang perlu diberi perhatian dan kita perlu maksimumkan produk pelancongan dalam menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini sempena Tahun Melawat Melaka 2019," katanya.

-- BERNAMA